ELAK UMAT BERCAKARAN


"ISLAM adalah agama yang syumul dan lengkap. Jika manusia dapat mengikuti agama itu dengan khusyuk dan tertib, ia akan membawa kepada kecemerlangan.

Namun, kebanyakan umat Islam lebih cenderung mengambil bahagian-bahagian tertentu yang menguntungkan mereka dan membesarkan sesuatu yang dianggap remeh.

Akibatnya, umat Islam bercakaran sesama sendiri hanya disebabkan isu yang kecil seperti hukum menyimpan janggut, talqin di atas kubur dan membaca doa qunut.

Berbeza pandangan mengenai sesetengah perkara adalah biasa kerana ulama juga mempunyai perbezaan pendapat tetapi ia tidak sampai menjejaskan keutuhan Islam.

Di Malaysia walaupun perbalahan mengenai sesuatu perkara dalam Islam masih terkawal, ia perlu kepada tindakan segera bagi menyatukan semula hati-hati yang menunjukkan riaki terpisah.

Lebih malang apabila perkara yang dibincangkan itu tidak langsung membina tamadun Islam yang lebih gemilang kerana ia hanya berlegar di dalam perkara yang sudah menjadi perbahasan ulama terdahulu.

Jika diteliti, perdebatan mengenai perkara furu' seperti zikir secara kuat selepas solat, sudah lama diperdebatkan di kalangan cerdik pandai Islam sejak dahulu.

Malah, sampai kiamat sekalipun jika perbalahan mengenainya diteruskan ia tetap tidak berakhir. Hal ini kerana semua pihak mempunyai pandangan dan hujah masing-masing dalam pegangan mereka. Secara mudah masalah ini dapat diselesaikan jika semua pihak berlapang dada dan menghormati pandangan masing-masing.

Sebagai umat yang dididik dalam suasana kehidupan berlandaskan budi pekerti mulia, kenapa kita perlu membiarkan keutuhan tali persaudaraan terlerai begitu sahaja? Yang bersorak gembira, bertepuk tangan hanyalah musuh Islam.

Kita perlu sedar, saban hari umat Islam disepak terajang pihak musuh yang berkehendakkan umat kita bercerai-berai, teraniaya serta menjadi golongan yang ditindas.

Kini, tiba masanya kita mengetepikan hal-hal yang kecil dan lebih memberi fokus kepada pembangunan umat sejagat. Bagaimana kita mahu membantu saudara Islam jika diri kita sendiri terabai.

Perbezaan pandangan kini biasanya dilemparkan dengan bicara kata-kata. Jadi awas dengan segala tindak tanduk serta setiap perkataan yang keluar dari mulut kita.

Sesungguhnya, setiap perbezaan yang timbul tidak seharusnya dijadikan tiket untuk satu pihak mencerca, menghina, menghukum satu puak yang lain.

Menurut Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan merangkap Timbalan Dekan ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid, berkata, perselisihan faham di dalam masyarakat adalah berpunca dari sikap tidak mahu bertolak ansur.

“Kita perlu berubah sikap dan menjauhkan diri daripada bertikam lidah, tuduh menuduh serta melakukan serangan peribadi kepada pihak lain.

“Islam sudah memberi garis panduan kepada umatnya bagi menghayati agama mengikut kesesuaian persekitaran yang ada,” katanya.

Mahmood Zuhdi turut menyarankan satu tindakan segera bagi mengelak masyarakat terus memusuhi saudara mereka sendiri.

“Sepatutnya kita boleh 'bercanggah' pandangan mengenai perkara yang tidak membabitkan soal (furu') ini, sebaliknya berbincang perkara yang lebih memberi manfaat kepada umat Islam.

“Keterbukaan pula harus diteliti dan memerlukan satu tahap yang yang mana kita perlu menilai di mana diri kita. Sebagai golongan pengikut misalnya mereka perlu bijak mengawal perasaan agar tidak mudah berkata-kata perkara yang mereka sendiri tidak mengetahui pokok pangkalnya,” katanya.

Katanya, semua pihak perlu berusaha mengalih pandangan orang ramai bagi menghentikan perbalahan ini.

“Hal ini jika dibiarkan berlarutan hanya merugikan kita. Apa guna kita berkelahi kerana mempertahankan sesuatu yang sudah menjadi khilaf (perbezaan) di kalangan ulama terdahulu,” katanya.

Sepatutnya perselisihan pandangan itu perlu bersifat ilmiah serta dalam suasana terkawal dan tidak terbawa-bawa emosi yang menjurus kepada perdebatan keras.

Umat Islam perlu diajak bersatu semula dan cuba meraikan perbezaan pandangan secara positif. Kesemua pendapat perlu diraikan kerana Islam dilihat bersifat menyeluruh, indah serta memudahkan penganutnya.

Berilah kesempatan kepada diri kita untuk berubah dan jangan sesekali diungkit atau berbicara kelebihan masing-masing kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah.

Jangan mendesak diri atau membuat hukuman sendiri di atas perasaan tidak puas hati, lalu menyebabkan golongan yang menjadi pengikut yang masih memerlukan bimbingan ini dibiar terpinga-pinga.

“Bagi cendikiawan Islam mereka perlu berusaha segera menyelamatkan serta mendamaikan kembali perbalahan antara pelbagai pihak ini,” katanya.

Ukuran atau penilaian terhadap amalan kita adalah hak mutlak Allah dan sebagai hamba, kita hanya layak untuk 'mempersembahkan' kualiti bagi mendapatkan ganjaran sehebat mungkin dari-Nya.

Al-Quran dan Sunnah adalah peninggalan Nabi Muhammad buat tatapan kita untuk dipelajari dan bukannya sekadar menjadi golongan pengikut yang 'buta'.

Seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w, Abdullah Ibn Mas'ud r.a pernah berkata: “Apa akan terjadi kepada kamu nanti apabila fitnah (penyelewengan) membaluti kamu. Anak kecil membesar dalamnya, yang dewasa dan tua bersamanya, lalu fitnah dijadikan sunnah (kebiasaan) sehingga jika ia diubah maka dikatakan “Ini tindakan yang mungkar”. Ditanya beliau: “Bilakah hal itu akan terjadi?” Jawabnya: “Apabila kurangnya mereka yang amanah dalam kalangan kamu, tetapi ramainya pemimpin kamu, kurangnya mereka yang faqih (memahami hakikat Islam) dalam kalangan kamu tetapi ramainya pembaca al-Quran, dan dipelajari ilmu bukan kerana agama (Allah) serta dicari dunia dengan amalan akhirat” (Riwayat ‘Abd Al-Razzaq).

DiPetik Dari: Ruangan AD-ADIN Harian Metro

0 comments: