Subhanallah

"Ya Allah..
Entah apa yang ingin aku katakan..terlalu banyak dosa yang telah aku himpunkan..
terlalu jahil untuk aku untuk mengerti keEsaan-Mu..
terlalu payah untuk aku mengecapi redha-Mu..
dan terlalu gundah hatiku untuk mengerti..
membelai diriku dengan segala kekeliruan..

Ya Allah..
berilah aku nur-Mu yang terang..
bergermerlapan agar aku tidak lagi dalam kegelapan..
hilang segala ketakutan..
bermulanya aku untuk meniti setiap titis kerinduan-Mu..
ketenangan yang bukannya terlihat pada hiburan..
tetapi pada ayat-ayat suci-Mu yang mencoretkan segala pujukan..
mengajar aku erti kebenaran dan kesahihan..

Ya Allah..
tetapkanlah keimanan yang telah Engkau wujudkan dalam diriku..
suburkannya dengan tinta-tinta sunnah Nabi-Mu..
mekarkannya dengan wangian keredhaan-Mu..
anugerahkannya dengan kemanisan iman-Mu..

Ya Allah..
sesungguhnya aku merindui setiap bibit kasih-Mu..
yang bukannya sementara tetapi untuk selama-lamanya..
aku akui Engkaulah yang punyai sifat yang syumul..
yang tidak ada pada kami..
maka Kau ampunilah kami Ya Allah..
atas segala keterlanjuran yang telah kami lakukan..
dan sejahterakanlah nabi junjungan, Muhammad S.A.W..
Amin..amin..Ya Rabbala'lamin..

Sembahyang Rawat Penyakit Kritikal

Kajian mengungkap gerakan solat terus dijalankan. Rugi bagi mereka yang tidak mengerjakan solat kerana tersembunyi kebaikan dalam setiap pergerakan solat. Mari kita mencari penjelasan hasil kajian oleh Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya.Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains.HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.


Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot


Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan. “Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya. Dr Fatimah meneliti kertas bacaan ujian yang keluar dari alat analisis penyepadanan bio.Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenal pasti otot yang aktif ketika solat.


Ng Siew Chok - Isyarat Otak


Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik. “Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur. “Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya. Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang. Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak. Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.


Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh


Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak. Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah. “Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya. Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir. Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik. Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian. “Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh. “Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya. Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang. Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan. Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah. Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat. Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot. Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan. “Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya. Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut. Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus. “Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya. Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring. “Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya. Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung. Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.

INTEAM Kembali Bersatu


Inteam kembali lagi dengan album terbaru berjudul Allahu Rabbi. Atas permintaan ramai, album istimewa ini turut menampilkan Suhaimi dan Hisyam yang merupakan anggota asal kumpulan Inteam. Terdapat 10 buah lagu yang pasti hits iaitu Allahu Rabbi, Hamzah Asadullah, Hanya Takdir (dedikasi untuk Palestin), Dia Muhammad, Kepastian, Kemuliaan Al Quran, Asy Syafie (duet bersama Ustaz Tahassan), Redha, Asma Allah dan Kasih Sayang (duet bersama Ustaz Asri Rabbani)...Pastikan yang ORIGINAL

Ganjaran Pahala Solat Subuh Mengatasi Keindahan Dunia

"RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)
Muhammad Abdur Rauf al-Munawi dalam kitabnya at-Ta'arif menegaskan, as-Subhu atau as-Sabah adalah permulaan siang hari, iaitu ketika ufuk berwarna merah jingga di langit tertutup oleh tabir matahari.
Adapun solat Subuh ibadat yang dilaksanakan ketika fajar siddiq dan berakhir pada waktu matahari terbit.Solat Subuh memiliki banyak daya tarikan kerana kedudukannya dalam Islam dan nilainya yang tinggi dalam syariat. Banyak hadis mendorong untuk melaksanakan solat Subuh serta menyanjung mereka yang menjaga dan mengerjakannya.
Rasulullah SAW mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang sangat sulit dan payah untuk bangun dari tidur. Seorang Muslim bila dibiarkan begitu saja (tertidur), akan memilih untuk merehatkan dirinya sampai terjaga hingga terbit matahari dan meninggalkan solat Subuh, atau ‘Subuh gajah’, iaitu dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya yang betul.
Rasulullah SAW mengkhususkan solat subuh dengan beberapa keistimewaan tunggal dan sifat tertentu yang tidak ada pada solat lain. Banyak keutamaan dan kelebihan yang didapati di waktu subuh.
Salah satu keutamaannya adalah Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis: “Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya).” (Hadis riwayat Termizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)
Jika Rasulullah SAW yang berdoa, maka tidak ada hijab di antara Baginda dengan Allah SWT kerana Baginda sendiri adalah orang yang secara jasadiyah paling dekat dengan Allah SWT.Waktu Subuh adalah waktu yang paling baik untuk mendapatkan rahmat dan keredaan Allah SWT
. Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.” (Surah al-Kahfi, ayat 2
Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam at-Termizi: “Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”
Begitulah keistimewaan solat Subuh. Apakah yang menghalang kita untuk menyingkap selimut dan mengakhiri tidur untuk melakukan solat Subuh? Bukankah solat Subuh menjadi bahagian yang begitu besar kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya?
Diriwayatkan Muslim daripada Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:“Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh." (Hadis riwayat Muslim).
Solat Subuh adalah sumber daripada segala cahaya di hari kiamat. Di hari itu, semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya.
Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk syurga.” (Hadis riwayat Bukhari). Dua waktu yang dingin itu adalah solat Subuh dan Asar.
Mereka yang menjaga solat Subuh dan Asar dijanjikan kelak di syurga akan melihat Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata, “Sungguh kamu akan melihat Rabb (Allah), sebagaimana kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya. Apabila kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW memberi janji, apabila solat Subuh dikerjakan, maka Allah akan melindungi siapa saja yang mengerjakannya seharian penuh. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya, sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Muslim, at-Termizi dan Ibn Majah)
Semoga kita tetap menjaga dan memelihara solat Subuh seperti dijanjikan Allah. Bergegas bangun tidur apabila terdengar laungan azan berkumandang untuk segera mengerjakan solat Subuh.

Kehilangan Tuhan Bagaimana??

Kalau kita tidak ada ibu bapa sahaja pun, kita terasa kehilangan yang amat banyak

Kehilangan kasih sayang, kehilangan tempat bermanja, kehilangan tempat berlindung, kehilangan tempat mengadu

Kita tidak punyai ibu bapa, terlalu banyak kekurangan yang kita rasa

Kehilangan ibu bapa, terasa perit hidup ini, kerana kehidupan kita urus sendiri

Itu baru kehilangan ibu bapaKita rasa dagang dan asing hidup ini

Kalau kehilangan Tuhan bagaimana?!

Tentulah kita kehilangan segala-galanya sama ada kita sedar mahupun tidak

Kehilangan Tuhan, kita kehilangan seluruh aspek kehidupan kita

Mungkin kita tidak terasa secara mengejut atau secara mendadak

Tapi kita akan terasa sedikit demi sedikit, kita akan terasa perlahan-lahan bahananya

Bahkan kalau kita panjang umur apa yang ada pada kita, macam tidak ada erti apa-apa jika kehilangan Tuhan

Kerana itulah kita jangan sombong, kita perlukan Tuhan

Kalau kita dapatkan Tuhan miskin pun masih rasa bahagia, di dalam kesusahan pun masih ada ketenangan

Betapalah di waktu kita di dalam kesenangan dan kemewahan

Tuhan sebenarnya adalah segala-galanya

Dapat Tuhan dapat segala-galanya

Tidak dapat Tuhan, walaupun segala-galanya dapat,kita rasa macam tidak dapat apa-apa

Hujah kita, kerana di dalam hidup ini, ada orang sudah dapat segala-galanya tapi bunuh diri

Ertinya segala-gala yang diperolehinya itu sudah tidak ada erti apa-apa

Ada orang tidak dapat segala-galanya, kerana dapat Tuhan dia tenang, masih bahagia seolah-olah dapat segala-galanya
Maha Besar Tuhan, dapat Tuhan itu rahmat, dapat Tuhan berkat, dapat Tuhan tenang dan bahagia

Kenapa Bulan Bulat Ayah??

Aku terduduk ke belakang lantaran terlalu sedih. Sedih kerana isteri tersayang pula pergi meninggalkanku akibat penyakit denggi. Belakangan ini, semuanya tidak berpihak kepadaku. Sepanjang tahun. Semuanya berlaku seakan tidak adil kepadaku. Jatuh tersungkur kubangkit kembali dengan sisa keimanan Allah Maha Adil. Namun, aku bukan hambamu yang setabah Nuh. Aku tidak sekuat Ibrahim. Pada permulaan derita ini, satu-satunya anakku meninggal dunia akibat kemalangan. Tiada keluarga. Pada ketika ini, aku benar-benar terasa seperti Ghuraba' (orang asing). Tiga bulan kemudian, telefon bimbitku hilang. Jika kerana harganya mahal, itu tidak mengapa. Tetapi, di situlah semua nombor contact teman-teman yang sering menyokong aku daripada futur (putus asa di jalan dakwah). Kini, cuma Allah tempat pergantunganku. Hidupku lebih banyak dihabiskan merintih di atas tikar Sejadah. Menangis sambil membilang manik-manik zikir. Terkadang sampai tertidur aku dalam tangisan.

Sesekali aku mengenang peristiwa silam. Sewaktu aku sekeluarga makan angin di kaki bukit. Aku bersama anakku, Bahri bersiar-siar di kedinginan malam sekitar pukul 10 malam. Aku memerhati di kejauhan keindahan lampu bandar yang halus. Tidak lama kemudian isteriku muncul bersama segulung tikar dan bekalan makanan. Aku membaringkan diri di atas tikar sedang isteriku sekadar bersimpuh. Sedang Bahri menjamah sandwich telur. Mulut 5 tahunnya tidak mudah untuk menggigit roti. Aku tertawa kecil melihatnya.

"Tengok~.. Lily, kesian tengok Bahri.. Mulut dia tak cukup besar.. Tak muat nak masuk.. Hik hik..".
"Teruk la ayah ni.. Gelakkan pulak.. Hik hik..", isteriku, Laiyla tertawa kecil sambil menutup mulut.
"Meh sini !.. Ayah tolong penyekkan".

Aku meletakkan sandwich yang bergigi-gigi itu di atas pinggan polisterin dan aku penyekkan dengan sepiring pinggan lagi.

"Nah!..", aku memberikannya pada Bahri.
"Tapi Ayah.. Dah lembik roti ni..", Bahri menunjuk roti yang sudah meliuk.
"Wah~.. Ayah, cantiknya.. Bahri tak pernah tengok bulan..", Bahri bingkas bangun sambil di tangnnya masih memegang roti.

Awan berarak beransur-ansur memberi ruang untuk Sang Purnama menyinari dengan kerahmatan daripada Tuhan Yang Maha Pemberi Rahmat. Aku benar-benar tidak menyangka bahawa malam itu malam punama. Aku memicit jam tanganku dan ia benar-benar menunjukkan 15 haribulan Syawal. Aku mengajarkan anakku dengan kalimah kesucian "Fatabarokallahu ahsanul khooliqiin".

"Ayah~.. Kenapa bulan bulat Ayah?..", Bahri tiba-tiba mengajukan soalan.
"Sebab.. Dah Allah ciptakan macamtu..", aku tergamam dengan soalan itu.
"Cuba Bahri bayangkan bulan bentuk bintang.. Macam mana nak raya..", tiba-tiba terpacul perkataan itu daripada mulutku.
"Taklah ayah.. Bulan macam hati, bulat maknanya sempurna.. Hati kenalah macam tu.. Tak boleh putus asa, terima semuanya dengan positif.. Barula cantik.. Allah sentiasa kurniakan apa yang baik untuk kita..", bait ayat Bahri seumpama kerasukan roh wali sufi.
"Whoa !.. Ni ke ana aku ?!.. Masya'Allah..", aku bermonolog di dalam hati.
"Pandainya anak ayah.. Dah boleh jadi ustat ni..".
"Ayah Shin Chan yang cakap macam tu.. Bahri tiru je..", rahsia terbongkar.
"Ayah Shin Chan cakap cam tu ?!..", aku agak kehairanan.
"Taklah.. Ayat yang belakang tu Ustazah kat tadika ajar..", rupa-rupanya Bahri mengcopy-paste ayat yang didengarinya.
"Dahlah ayahnya.. Bahri nak makan tu..", Lily di belakang memotong stim.
"Hah.. makan tu jangan lupa baca doa..", aku sempat berpesan."Ha alah.. Bahri lupa.. Bismillahirrahmanirrahim.........".
".............".
".............".

Kenangan lampau masih indah. Dan ianya pasti lebih indah jika bisa disentuh sekali lagi. Namun kenangan lalu hanya mampu dikenang tanpa bisa diunduri. Kembali aku bersemangat bila teringat kata-kata Bahri. Semuanya harus diterima dengan positif. Sekali lagi kuulangi, aku harus bangkit dengan segala kepositifan. Dan perkara itu akan sentiasa kuulangi, AKU HARUS BANGKIT DENGAN SEGALA KEPOSITIFAN.

Terima Kasih ASA EXPLORE




Terima kasih buat bro sham coz sudi invite saya join prog lagi..Mcm2 saya dah blaja dalam asa explore..hope asa explore akan lebih terus maju lagi..

Buat fasilitator asa explore..
korg mmg the best...teruskn usaha kalian utk mendidik adik2 kta yg bakal menjadi harapan negara...hope ukhwah kta kekal selamanya.aminn

TAKZIAH



Buat pengetahuan semua, ayahanda kepada Muhammad Hafizi bin Ramli (ahli nasyid) telah meninggal dunia kira-kira jam 3.45 petang tadi (21 mac 2009). Solat jenazah insya-Allah akan dibuat pada 9.00 malam ini. Marilah sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat allahyarham. Semoga rohnya di tempatkan di kalangan orang-orang soleh dan dicucuri rahmat. Ameen. Buat saudara Hafizi dan keluarga, kami mendoakan agar kalian sentiasa bersabar dengan suratan yang mendatang ini. Setiap yang hidup pasti kan merasai mati. Wallahua’lam-

KAEDAH MEMAHAMI HADIS MUSYKIL DARI SUDUT SAINS

Matahari sujud di bawah Arasy di malam hariBerkata Abu Dzar radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam telah bertanya kepada dia tentang hal tenggelamnya matahari:“Tahukah kamu ke mana perginya (matahari di malam hari)?” Saya (Abu Dzar) menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Lalu Rasulullah bersabda:“Sesungguhnya ia pergi sehingga sujud di bawah Arasy. Ia meminta izin maka diizinkannya. Lalu ia segera untuk bersujud lagi tetapi tidak diterima darinya, lalu ia meminta izin lagi namun ia tidak diperkenankan. Dikatakan kepada ia: Kembalilah dari mana kamu datang. Maka ia muncul (terbit) dari tempat ia tenggelam (terbenam). Inilah yang dimaksudkan oleh Allah Ta‘ala dalam firman-Nya: “Dan matahari, ia beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.” [Yasin 36:38] [1]Kemusykilan:Ada beberapa kemusykilan yang timbul dari hadis ini:1. Dalam hadis ini disebutkan bahawa matahari pergi untuk bersujud, menunjukkan bahawa yang bergerak adalah matahari. Bukankah ini menyalahi fakta sains di mana yang bergerak sebenarnya adalah bumi?2. Berdasarkan ilmu sains, kita sama-sama tahu di mana kedudukan matahari di malam hari. Kenapa pula dalam hadis ini dikatakan matahari pergi bersujud di bawah Arasy?3. Lebih aneh, bagaimana pula matahari akan terbit di tempat terbenamnya, yakni di sebelah Barat?4. Di akhir hadis ini, dibacakan ayat al-Qur’an bahawa matahari beredar ke tempat yang ditetapkan baginya. Dalam kuliah-kuliah Zakir Naik[2], diterangkan bahawa maksud ayat ini bukanlah untuk menunjukkan bahawa matahari itu bergerak dalam orbitnya yang tersendiri atau bergerak mengelilingi bumi tetapi ia menunjukkan bahawa matahari berpusing di atas paksinya dengan setiap pusingan mengambil masa kira-kira 25 hari. Ini juga telah dibuktikan oleh sains mutakhir. Maka sekali lagi terdapat percanggahan antara hadis ini dengan al-Qur’an dan sains.Penjelasannya:Sebelum dijelaskan satu persatu kemusykilan di atas, perlu diingatkan bahawa tujuan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam membicarakan perihal matahari bukanlah untuk mengajar umat di zamannya ilmu sains tetapi adalah untuk menghubungkan antara ciptaan-ciptaan alam dan Penciptanya agar dengan pengamatan dan pemerhatian tersebut, keimanan dan keyakinan umat bertambah teguh dan mantap.Ini adalah sepertimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam al-Qur’an:“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka”.” [‘Ali Imran 3:190-191]Kaedah pengamatan dan pemerhatian tersebut mungkin sahaja berbeza bergantung kepada individu, tahap ilmu dan suasana zaman kehidupannya. Dalam kes ini Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam memberikan tumpuan kepada umatnya di zaman yang masih belum dikuasai sepenuhnya oleh ilmu sains. Sekalipun Rasulullah mengetahui ilmu sains secara tepat berdasarkan wahyu pengajaran dari Allah ‘Azza wa Jalla, baginda tidak mungkin akan mengajarnya kerana melakukan sedemikian tidaklah termasuk dalam kaedah dakwah yang berhikmah di saat itu.Namun dengan berubahnya zaman dan peradaban manusia, maka berubahlah juga kaedah dakwah. Apa yang dianggap sebagai tidak berhikmah di zaman dahulu kini berubah menjadi kaedah yang berhikmah manakala apa yang dianggap berhikmah di zaman dahulu mungkin sahaja tidak lagi tepat di zaman kini. Ini umpama apabila seorang anak kecil berumur 3 tahun yang bertanya kepada kedua ibubapanya dari manakah dia datang. Adakah kedua ibubapanya akan menjelaskan kepada dia setiap perincian, dari pemulaan hubungan seks, peringkat-peringkat perkembangan embrio sehinggalah kepada proses kelahiran; atau mereka akan mencari jalan lain untuk menjelaskan secara mudah dan mengaitkannya kepada Allah Ta‘ala agar si anak dapat memahaminya dan mula mengenal siapakah Pencipta? Dan pasti sahaja jawapan kedua ibubapa akan berbeza apabila yang bertanya adalah seorang anak yang telah mencapai umur dewasa belasan tahun, di mana dijelaskan dari sudut sains biologi dan dikaitkan dengan sifat Allah yang Maha Agung lagi Maha Mengetahui.Oleh itu jika kita perhatikan benar-benar hadis perihal matahari di atas, kita akan dapati ianya penuh dengan petunjuk dan isyarat yang mengaitkan Matahari dengan Penciptanya. Hadis ini tidak bercanggah dengan sains malah ia adalah satu cabaran kepada ilmu sains yang mutakhir mahupun yang akan datang.Berikut dijelaskan satu persatu kemusykilan yang timbul daripada hadis di atas:Kemusykilan pertama:Matahari pergi untuk bersujud, menunjukkan bahawa yang bergerak adalah matahari.Penjelasannya:Perkataan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya ia (matahari) pergi sehingga…….” sebenarnya adalah ungkapan dari segi bahasa, bukan sains. Bukankah kita juga apabila merujuk kepada matahari menggunakan ungkapan seolah-olah matahari yang bergerak? Dalam bahasa Melayu dikatakan “Matahari sedang terbit” di pagi hari, “Matahari telah tergelincir” di siang hari dan “Matahari terbenam” di waktu Maghrib. Semuanya menunjukkan seolah-olah yang bergerak adalah matahari. Begitu juga dalam bahasa Inggeris iaitu bahasa para ahli sains, di mana dikatakan “The Sun rises” dan “The Sun sets” , kedua-duanya menunjukkan seolah-olah matahari yang bergerak.Justeru diulangi bahawa sebutan: “Sesungguhnya ia (matahari) pergi sehingga…….” sebenarnya adalah ungkapan dari segi bahasa, bukan sains.Kemusykilan kedua:Matahari pergi bersujud di bawah Arasy.Penjelasannya:Yang dimaksudkan bersujud dalam hadis di atas bukanlah bersujud sepertimana perbuatan solat tetapi adalah sujud dalam ertikata ia mentaati perintah dan ketetapan Allah ke atasnya. Perhatikan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam dua ayat berikut:“Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang.” [al-Ra’d 13:15]“Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah, dan matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia?” [al-Hajj 22:18]Sujud dalam dua ayat di atas ertinya ia mengikuti segala undang-undang dan peraturan yang telah Allah tetapkan bagi ia. Ini dikenali sebagai sunnatuLlah. Hal ini diperincikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam ayat berikut:“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.” [al-A’raaf 7:54]Justeru sama ada matahari atau bulan atau planet-planet lain, sama ada ia berorbit atau berputar pada paksinya atau kedua-duanya, itu semua adalah perintah, peraturan dan ketetapan Allah bagi mereka.Maka apabila dikatakan matahari setelah terbenam pergi bersujud kepada Allah, ertinya ia tunduk kepada perintah dan peraturan Allah terhadapnya. Matahari tetap berada pada peraturannya, ia tidak hilang tetapi akan terbit kembali pada esok paginya. Terbit dan terbenamnya matahari yang disaksikan kerana pergerakan bumi adalah kerana aturan dan ketetapan Allah ‘Azza wa Jalla terhadap mereka.Hal ini telahpun dibuktikan oleh sains akan tetapi sains masih belum dapat menemui kenapa dan bagaimana matahari dan bumi dapat berputar dan / atau berorbit dalam satu peraturan yang begitu seragam sehingga ia tidak bertembung mahupun lari dari ketetapannya. Begitu juga dengan sistem cakerawala yang lain, planet-planet, bulan, meteor dan bintang. Sains telah menemui peraturan gerakan mereka tetapi sains belum menemui siapakah yang mengaturnya. Atau mungkin sudah ditemui tetapi keberatan untuk mengakui atau mengumumkannya.Inilah yang penulis maksudkan bahawa hadis ini bukan sahaja tidak bercanggah dengan sains malah ia adalah satu cabaran kepada ilmu sains yang mutakhir mahupun yang akan datang.Kemusykilan ketiga:Matahari akan terbit di tempat terbenamnya.Penjelasannya:Keterangan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bahawa matahari kemudiannya disuruh terbit di tempat terbenamnya sebenarnya merujuk kepada suasana akhir zaman beberapa ketika terdekat sebelum Kiamat. Terdapat beberapa hadis lain di mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menerangkan bahawa menjelang Hari Kiamat, matahari akan terbit di tempat terbenamnya.[3] Di saat ini matahari tidak lagi mengikuti peraturan yang sudah sekian lama diperintahkan kepadanya.Di dalam al-Qur’anul Karim, terdapat beberapa ayat yang menerangkan bahawa matahari hanya akan mengikuti peraturan yang ditetapkan baginya untuk satu tempoh tertentu. Salah satu dari ayat tersebut adalah:“Ia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar; Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya); dan Ia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintahnya, - tiap-tiap satu dari keduanya, beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni.” [al-Zumar 39:05, lihat juga Fatir 35:13, Luqman 31:29 dan al-Ra’d 13:02]Sebelum tempoh yang ditetapkan itu, peraturan terhadap matahari adalah sepertimana dalam ayat berikut:“Matahari tidak mungkin baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.” [Yasin 36:40]Namun setelah tempoh yang ditetapkan yakni menjelang Hari Kiamat, matahari dan bulan akan berhimpun bersama sepertimana yang dikhabarkan oleh ayat berikut:“Dia bertanya (secara mengejek): “Bilakah datangnya hari kiamat itu?” Maka (jawabnya: Hari Kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut), Dan bulan hilang cahayanya, Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama.” [al-Qiyamah 75:6-9]Malah matahari sendiri akan digulung:“Apabila matahari digulung.” [al-Takwir 81:01][4] Yakni apabila matahari dilipat, dicantumkan sebahagian dengan sebahagian yang lain seperti melipat kain serban, menghimpunkan pakaian dengan pakaian lain, kemudian dibuang, hilang cahayanya sebagai tanda alam ini akan binasa.[5]Menjelangnya Hari Kiamat, peraturan matahari sangat berbeza dan berlainan, mungkin sahaja yang pertama ia terbit dari Barat, kemudian berhimpun dengan bulan lalu akhirnya ia menggulung sehingga hilang cahayanya. Allah sahaja yang lebih mengetahui.Kemusykilan Keempat:Matahari beredar ke tempat yang ditetapkan baginya.Penjelasannya:Nukilan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam akan ayat 36 surah Yasin: “Dan matahari, ia beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.” tidaklah bertujuan untuk menafikan sains mahupun membenarkannya.Tujuan baginda hanyalah untuk menerangkan bahawa urusan peredaran matahari, apa dan bagaimana dari awal hingga ke saat menjelang Kiamat, semuanya di bawah pengetahuan dan kekuasaan Allah ‘Azza wa Jalla.
_____________________________________Nota kaki:[1] Sahih: Hadis dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari (terj: Mahmoud Matraji; Dar al-Fikr, Beirut 1993), no: 3199 (Kitab Awal Penciptaan, Bab Sifat Matahari dan Bulan).[2] Beliau adalah seorang tokoh da'i dari India yang terkenal di seluruh dunia. Dalam beberapa kuliahnya, dikaitkan antara ayat al-Qur'an dan penemuan sains yang jelas agar dengan itu terbukti kebenaran al-Qur'an sebagai sebuah kitab wahyu. Beliau juga adalah seorang pakar dalam bab Perbandingan Agama dan Isu-isu semasa. Sangat dianjurkan kepada para pembaca untuk menimba ilmu dari kuliah-kuliah beliau. Kuliah-kuliah ini telah dirakam dan diedarkan dalam bentuk Video CD oleh Saba Islamic Media, Kuala Lumpur. (http://www.saba-islamic-media.com)[3] Lebih lanjut silalah mengkaji buku Amin Muhammad Jamaluddin yang amat menarik, berjudul Umur Umat Islam, Kedatangan Imam Mahdi dan Munculnya Dajjal (terj: H.Akel; Cendekia Sentra Muslim, Jakarta 2000). Bagi hadis-hadis yang menerangkan matahari bakal terbit di tempat terbenamnya, lihat mukasurat 136-138.[4] Terjemahan ayat berdasar edisi Tafsir al-Munir yang diterjemahkan oleh panel penterjemah kelolaan Persatuan Ulama' Malaysia.[5] Wahbah Zuhaili - Tafzir al-Munir (PUM & IMAP, Kuala Lumpur 2001), juz 'Amma, ms 76.