Mahasiswa Kelesuan Daya Fikir

Penulis bersama rakan2 di tanah suci

Mahasiswa kurang berdaya-saing, lesu dan tenggelam dalam dunia buatan tangannya sendiri.

Kerap kali kita membincangkan sindrom mahasiswa jumud dan tidur ini. Jumud dari segi meningkatkan kepekaan rasional untuk memaksimakan kepedulian kepada persekitaran yang berlaku, sama ada dari pemerhatian aktiviti tamadun yang berjaya atau melihat kehalusan seni bina alam ciptaan Tuhan.

Hanya dengan langkah pertama, selalunya mengundang kesalahan, langkah-langkah seterusnya dapat diperbaiki dan diciptakan. Malangnya persekitaran pembelajaran mahasiswa diselubungi kepimpinan yang mementingkan pengisian masa kosong dari pengisian minda yang kosong.

Mereka terbelenggu dan terpenjara di dalam paradigma arus perdana yang sonsang dan jauh melawan fitrah kejadian manusia. Mereka seolah-olah seronok bermain di alam fantasi berbanding realiti, masa berharga dibuang begitu sahaja.

Dihambat arus kemodenan semasa tanpa radar memandu arah, kerana kemajuan yang berjaya menjadikan masyarakat hampir menjadi robot dalam perkerjaan dan ritual dalam peribadatan.

Tiada pengisian rohani.

Pepatah Rom pernah menyebut:

permulaan kepada sesuatu perkara adalah separuh daripada perkara itu sendiri

Ibu bapa juga terheret sama dalam kancah tidak sihat ini. Bebal hati membunuh rasa kepedulian. Tidak khuatir sangat kerana ramai lebih selesa berhujung minggu di rumah di hadapan internet, bermain play station ataupun mengadap televisyen menonton filem kegemaran.

Dunia internet menghubungkan kita dengan masyarakat tanpa batas, ia juga secara tidak langsung mengurangkan pergaulan kita di dunia nyata tanpa sedar. Habermas mungkin relevan dalam ideanya berkaitan konsep Ruang Awam dan Ruang Persendirian.

Penulis tertarik dengan satu iklan tentang laptop. Iklan tersebut menunjukkan seorang lelaki geekhead yang sedang ber-dating di taman bersama teman wanitanya sambil menggunakan laptop.

Apa yang kelakar, lelaki itu langsung tidak mengendahkan teman wanitanya kerana sangat asyik dengan laptop tersebut. Apatah lagi kita membayangkan wanita tersebut, adalah sebuah nasihat, atau kenangan hidup yang lampau. Apakah mereka akan juga, cuba mencari fikir?

Walaupun sekadar iklan, hakikatnya ia berlaku di dunia realiti. Di Korea, remaja menghabiskan lapan belas jam di depan komputer atau internet, sehinggakan kerajaan Korea terpaksa menganjurkan satu program seakan-akan kempen untuk menangani gejala tidak sihat ini.

Kita juga pasti mengetahui dan ingat iklan Petronas berkenaan kemerdekaan. Dua warga tua yang lama terpisah, seorang Melayu dan seorang lagi Cina yang tanpa dirancang bertemu di hospital. Kedua-duanya rancak berborak kisah lama tapi sebaliknya apa berlaku pada cucu mereka? Masing-masing asyik bermain handphone. Rambut saja sama. Masing-masing buat kerja sendiri.

Moralnya, manusia lebih tertarik dengan hasil kerja Allah Taala melalui tangan makhluk daripada hasil kerja Allah dengan tangan Allah. Hubungan sosial sesama manusia juga secara psikologi dapat membawa ketenangan. Bukankah manusia hasil kerja Allah?

Namun tidak mustahil juga, jika hasil tangan manusia ini sering dialpakan, maka jadilah macam dua situasi tadi. Tidak ada semangat setia-kawan, tidak pernah ambil peduli.

Tetapi kesan pelajaran dan pemerhatian yang lahir dari aktiviti tersebut sangat merisaukan. Dalam segala aktiviti, termasuk pemerhatian alam, ramai muslim melihat tapi tidak nampak, hanya kerana niatnya ialah untuk memenuhkan masa bukan mempelajari sesuatu.

Keprihatinan kita mempelajari sesuatu dari apa yang kita perhatikan melalui persekitaran. Kepekaan kita memperbaiki halatuju hubungan sosial, membudayakan semangat kejiranan tanpa elemen berbaur gosip. Peduli sahaja tidak cukup kalau peduli itu hanya untuk disensasikan dan mengisi masa kosong.

Analoginya, kita pandai bermain bola. Bila ditanya kenapa main bola? Mereka mampu menjawab kerana badan sihat, minda cerdas. Tiada sukan yang tidak menghasilkan jawapan yang sama. Andai mereka serius, mereka akan ambil tahu soal postur badan, pernafasan dan sebagainya. Kita masuk padang terus main, jarang bebeno kita tengok orang buat regangan dulu, badan dipaksa mengejut.

Kebanyakan kita kurang minat tentang falsafah, membuatkan kita menjadi penduduk dunia kelas kedua. Malah lebih teruk lagi tidak berfikir lansung. Kesedaran berfalsafah itu yang penting kerana akhirnya membawa kepada pertanyaan siapa, dari mana, hendak ke mana dan pelbagai soalan kehidupan.

Kecintaan pada ilmu ini bercampur antara percaya dan fikir pada awalnya, yang membuatkan muslim akhirnya merasakan pembuktian aqli (fikir) itu sesuatu yang perlu dipinggirkan dan mengambil dalil naqli (nas) dengan hanya sedikit atau tanpa berfikir mendalam.

Penulis sangat tertarik dengan penerimaan ilmu sains yang terbaik adalah apabila ilmu itu dapat mendekatkan diri kita dengan Allah Taala melalui cara yang begitu praktikal dan sangat halus, sehinggakan melebihi cara pemahaman ilmu ahlul-sufi mendekatkan diri kepada Allah Taala.

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَعۡبُدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ حَرۡفٍ۬‌ۖ فَإِنۡ أَصَابَهُ ۥ خَيۡرٌ ٱطۡمَأَنَّ بِهِۦ‌ۖ وَإِنۡ أَصَابَتۡهُ فِتۡنَةٌ ٱنقَلَبَ عَلَىٰ وَجۡهِهِۦ خَسِرَ ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأَخِرَةَ‌ۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡخُسۡرَانُ ٱلۡمُبِين

Allah Taala berfirman yang bermaksud: Dan di sana terdapat sebahagian manusia yang menyembah Allah sekadar di pinggiran. Jika mendapat kebaikan mereka akan tenang dengannya (iman kepada Allah) dan apabila ditimpa fitnah (ujian) mereka akan memalingkan wajah (meninggalkan agama Allah). Mereka kerugian dunia dan akhirat. Itulah dia sebenar-benar kerugian yang nyata al-Hajj (22:11)

Jernihkan akal dan usaha ke arah pembangunan minda kelas pertama dengan idea-idea lestari, jauh sekali memikirkan dunia fantasi dari realiti dan bergelumang kotor di dalamnya.

Beruntunglah mereka yang peduli dan masih ada hati.

0 comments: